Murid ditendang, kepala ditekup dengan tong sampah, muka ditonyoh dengan penyapu
DENGKIL, SELANGOR – Seorang murid lelaki terpaksa menahan malu dan
sakit akibat dibuli oleh beberapa rakan sekolahnya di dalam kelas yang
didakwa berlaku di sebuah sekolah di Dengkil.
Video berdurasi 1 minit 51 saat yang dirakam oleh rakan pembuli itu menunjukkan mangsa yang memakai pakaian sukan itu digoncang kepala, tangannya ditendang beberapa kali dan kepalanya ditekup dengan tong sampah.
Mangsa juga ditendang berkali-kali di tangan, belakang badan, kepala dan mukanya ditonyoh dengan penyapu,
Mangsa tidak berdaya melawan hanya mampu menangis dan menahan dirinya
diperlakukan sedemikian, sementara kumpulan berkenaan mentertawakannya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada video yang tersebar itu
adalah kes buli terbaru atau lama. Juga tiada maklumat teperinci
mengenai kejadian itu. Namun netizen meminta pihak berkuasa menyiasat
dan mengambil tindakan tegas terhadap murid-murid yang terlibat.
Individu yang memuat naik video kejadian buli yang kini viral di media sosial
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pernah
bersetuju jika pelajar yang didapati membuli pelajar yang lain dikenakan
tindakan buang sekolah. Ini kerana hukuman yang sedia ada tidak
membuatkan pembuli serik dan tindakan buang sekolah dipercayai dapat
membendung kejadian buli di sekolah dari terus berlaku.
“Saya tidak bersetuju kalau setakat hendak gantung (persekolahan) 10
hari, tak payah. Kita kena buat lebih lagi,” katanya memetik dari
laporan Bernama Ogos lalu.
Malangnya tindakan itu tidak dapat diambil kerana peraturan yang sedia ada tidak membenarkan tindakan itu dilaksanakan.
Sumber : https://vindieselmedia.com/subhanallah-murid-ditendang-kepala-ditekup-dengan-tong-sampah-muka-ditonyoh-dengan-penyapu/


